INFO TERKINI



"Minda dan Budaya di Perkasa, Sejarah Tercipta"
Selamat Datang Ke Weblog SK Taman Rinting 1

Isnin, 24 Mei 2010

Selamat Hari Jadi

AlhamduliLlah, pada hari Jumaat (22 Mei 2010) yang lepas, guru-guru telah meraikan Tuan Guru Besar sempena Hari Jadi beliau dalam majlis yang ringkas. Semoga Tuan Guru Besar dipanjangkan umur dengan limpah rahmat-Nya.


Latihan Kebakaran

SKTR 1 telah berjaya mengadakan Latihan Kebakaran pada 20 (sesi petang) dan 21 Mei 2010 (sesi pagi) yang lalu. Berikut adalah foto-foto pada hari tersebut..



Khamis, 13 Mei 2010

Sambutan Hari Guru 2010

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

.: Bersedia melangkah megah
Walaupun sukar baktiku curah
Demi mu ibu pertiwi
Sumpah ku lafaz janji kukota


.:Berikrar eratkan bangsa
Kukuhkan cinta kepada Negara
Berjasa terus berjasa
Menyebarkan ilmu tiada batasnya


.: Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah perjuangkan visi Negara
Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa
Demi agama dan nusa tercinta


.: Guru Pembina Negara Bangsa
Tetap Unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia


Pencipta Lagu : Khairulrizam bin Khalid
Pencipta Lirik : Ili Nurbahirah bt Baharudin
Pengubah Muzik : Marzuki bin Tambi

http://www.moe.gov.my/

Jumaat, 7 Mei 2010

Kenderaan 'Tiga Alam'


HOVERKRAF 19XRW Hoverwing boleh digunakan untuk tujuan rekreasi, perindustrian, komersial dan ketenteraan.


SEMUA daripada kita tahu yang hoverkraf merupakan kenderaan yang dicipta untuk 'dua alam' kerana kebolehannya untuk meluncur laju di atas air dan juga bergerak di atas jalan atau tanah.

Bagaimanapun, kita mungkin termenung sejenak apabila mengetahui terdapat kenderaan itu yang boleh beroperasi dalam 'tiga alam' pula kerana ia bukan sahaja mampu beroperasi di atas air dan tanah, tetapi juga terbang di udara!

Hoverkraf yang pertama sebenarnya dicipta oleh Sir Christopher Cockerell pada 1956 dan ia merupakan kenderaan yang bergerak menggunakan tekanan udara dan tidak bergantung kepada tayar seperti lain-lain kenderaan darat atau kipas untuk kenderaan laut.

Cara hoverkraf beroperasi adalah menggunakan tekanan angin ke bawah bertujuan menaikkan kenderaan itu beberapa inci dari permukaan air atau tanah dan tekanan angin ke belakang pula akan mengerakkannya ke hadapan.

Terdapat pelbagai jenis hoverkraf di pasaran sama ada yang digunakan sebagai bot kecil atau feri yang mengangkut penumpang di pelabuhan.

Bagaimanapun perkembangan hoverkraf tidak berhenti setakat itu kerana terdapat beberapa usaha untuk meningkatkan kemampuan kenderaan itu termasuk terbang di udara setinggi beberapa meter.

Rudy Heeman dari Nelson, New Zealand misalnya merupakan seorang daripada beberapa pencipta di seluruh dunia yang berminat untuk menerbangkan hoverkraf.

Dalam ciptaannya, Heeman mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk membangunkan hoverkraf terbangnya yang dilakukan secara sambilan.

Secara asasnya, mesin ini beroperasi sebagai sebuah bot asalkan ia tidak mencapai kelajuan 70 kilometer sejam (km/j) kerana selepas kelajuan itu, ia akan terbang ke udara. Kelajuan maksimumnya ialah 100 km/j.

Mesin yang menggunakan enjin 1.8 Subaru itu juga boleh bergerak sejauh 225 km dan sayapnya boleh dibuka daripada badan kenderaan.

Apabila terbang, mesin ini hanya boleh dinaiki oleh dua orang dengan jumlah berat 160 kilogram tetapi ia boleh membawa tiga orang apabila beroperasi sebagai hoverkraf.

Terbang tiga meter

Hoverkraf ini boleh terbang setinggi tiga meter dan pengendalinya tidak memerlukan lesen penerbangan kerana mesin ini hanyalah sebuah bot.

Heeman berkata, beliau menghabiskan masa lebih 800 jam dan beribu dollar untuk membangunkan mesin yang kini ditawarkan untuk jualan di Internet.

"Mesin ini sangat sesuai untuk petani kerana anda boleh terus masuk ke dalam ladang tanpa perlu membuka pintu pagarnya," kata Heeman.

Sebelum Heeman, sebenarnya terdapat juga syarikat dari Rockford, Illinois, Amerika Syarikat yang telah membangunkan hoverkraf boleh terbang untuk pasaran komersial.

Syarikat Universal Hovercraft telah memperkenalkan hoverkraf dikenali sebagai 19XRW Hoverwing yang boleh digunakan untuk tujuan rekreasi, perindustrian, komersial dan ketenteraan.

Hoverkraf ini boleh terbang hingga 1.8 meter apabila mencapai kelajuan 120 km/j. Bagaimanapun, jika perlu melalui halangan lebih tinggi, ia mampu 'melonjak' sehingga enam meter.

Seperti juga hoverkraf Heeman, sayap bagi Hoverwing boleh dibuka dan ia boleh dilakukan dalam masa 10 minit sahaja.

Sebaik sayap dibuka, Hoverwing akan berada dalam mod Sport yang mana ia menjadi hoverkraf berkuasa dan mampu membawa sehingga enam penumpang untuk memasuki kawasan-kawasan yang sukar diakses oleh bot atau kereta.

Kelebihan Hoverwing juga ialah ia boleh diubahsuai untuk memenuhi keperluan penumpang untuk beroperasi di kawasan berair, berpasir, berlumpur, paya atau salji.

Setakat ini, Universal Hovercraft hanya menjual kenderaan ini untuk tujuan komersial, perindustrian, menyelamat dan ketenteraan sahaja dengan harga kira-kira RM270,000.

~ Utusan Malaysia

Ibu Bapa Acuan Akhlak Anak

Oleh Melati Mohd Ariff

Rencana bersiri ini cuba mengupas kemelut yang melanda institusi keluarga masyarakat Melayu negara ini di tengah-tengah berleluasanya gejala sosial terutama dalam kalangan remaja. Ini ialah bahagian ketiga daripada enam siri.


KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- "Anak saya degil tak mahu dengar cakap saya"! "Anak saya malas tak mahu belajar, kalau saya berleter baru dia buka buku. Kalau periksa selalu dapat nombor corot!"

"Anak saya kalau saya marah, angkat kaki dan keluar dari rumah!" "Anak saya lebih suka lepak dengan kawan-kawan dia, ada kala sampai tak balik rumah!"

"Anak saya malas solat, kalau suruh baru dia buat!"

Ini ialah antara keluhan yang sudah lazim sampai ke cuping telinga Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, perunding motivasi, juga Pengarah Urusan MAP Training & Consultancy Sdn Bhd.

"Anak-anak sebenarnya bukan tak mahu dengar nasihat atau cakap emak bapak. Paling penting waktu yang kita pilih untuk kita beri nasihat. Kalau tak kena waktunya, nasihat kita akan dianggap sebagai satu leteren atau bebelan," kata beliau dalam wawancara dengan Bernama di pejabatnya di Wisma Belia di sini baru-baru ini.

TEGUR DULU


Ada ibu bapa yang cepat naik angin apabila anak-anak melakukan kesilapan dan sekiranya ibu bapa turut mahu menasihati anak mereka ketika itu, anak akan mengambil sikap dingin dan tidak akan mendengar cakap mereka.

Seperti yang ditegaskan Dr Asmadi, tegur dan nasihat tidak boleh dilakukan serentak.

Bila menegur, fokus sahaja kepada apa yang ditegur. Jangan mencampur-adukkan dengan nasihat kerana ketika anak ditegur, dia berada dalam keadaan dipersalahkan.

Anak yang ditegur juga sudah berada dalam keadaan yang negatif. Masa itu juga dia sudah menutup dirinya dan seolah-olah ada tabir antara dia dan ibu atau ayah yang menegur.

Menurut Dr Asmadi, anak juga tidak berada dalam apa yang dipanggil 'receptive mood'.

"Banyak mana pun kita cakap dia tak akan dengar. Makanya sering kita dengar ibu bapa mengeluh anak-anak tak mahu dengar cakap. Bukan tak hendak tapi dia tak ada mood nak mendengar.

"Jadi bila kita menegur anak, tegur sahaja kesalahan dia. Katakan kesalahan itu yang pertama, mungkin kita boleh kata emak atau ayah dulu pun macam itu, ini biasa dalam proses pembesaran.

"Cukup dengan itu, tak perlu tambah dengan nasihat. Anak-anak akan menganggap cakap kita sebagai satu bebelan, hanya memenatkan kita," jelas beliau.

PILIH WAKTU SESUAI


Pilih waktu yang sesuai untuk menasihati anak. Ini nasihat seterusnya daripada Dr Asmadi kepada ibu bapa yang sering menghadapi masalah dengan anak-anak.

"Bila keadaan sudah tenang, mungkin masa kita minum-minum atau dalam kereta dengan anak, kita nasihat dia masa itu.

"Anak akan lebih bersedia sebab tabir yang ada masa dia ditegur dah tak ada dan dia bukan lagi berada dalam keadaan dipersalahkan.

"Katakan kita tegur dia tentang kawan-kawan dia. Beritahu dia kalau boleh cari kawan-kawan yang macam ini. Abah dulu pun cari kawan-kawan yang macam itu. Kita bercakap dengan cara mahu mendidik dia, dia akan terima," kata perunding motivasi ini lagi.

Nasihat juga perlu dimulakan dengan kemesraan.

Menurut Dr Asmadi, ibu bapa boleh mengingatkan perkara terbaik yang anak pernah buat semasa dia kecil untuk merangsang anak terus melakukan perkara yang sama.

"Anak mungkin tak ingat pun waktu kecil dia tapi sengaja kita kaitkan untuk dia merasa dia seorang yang bagus dan sebagainya.

"Jadi kita mulakan dengan kemesraan. Kita mulakan dengan sesuatu yang positif, barulah anak akan membuka diri dia. Ini amat perlu kalau kita mahu anak mendengar nasihat kita," tambahnya.

PERLU SABAR


Ibu bapa juga perlu sabar dalam menasihati anak dan pada kebanyakan masa, nasihat perlu diulang secara positif beberapa kali sebelum anak menerima sepenuhnya.

Dalam proses pembentukan watak, anak-anak juga perlu diberi suatu tempoh tertentu untuk berubah.

Dr Asmadi memberi contoh menasihati anak untuk menunaikan ibadat solat.

Ada ibu, katanya terus memarahi anak apabila lambat solat. Si ibu akan mengherdik dengan kata-kata "Pukul berapa sekarang? Dah nak masuk asar, zohor pun tak sembahyang lagi. Nak kena cakap baru nak buat!"

Menurut beliau, cara yang demikian adalah negatif dan mungkin hanya dapat memuaskan hati ibu tetapi tidak membantu anak.

"Keibubapaan positif menggunakan pendekatan berikut. Kita tanya dia dengan baik sudah solat ke belum. Beritahu dia yang waktu sudah lewat dan peringatkan dia ketika dia dalam umur 10, 11 tahun tak apa tapi bila dah akil baligh, masuk usia 13 tahun, dia tak boleh lagi lewat solat. Kemudian suruh dia ambil air sembahyang dan solat.

"Tak ada kata nak pukul dia, tak mengungkit kesalahan silam dia. Kita tak kata dia malas. Setiap kali anak kita lewat solat, kita ulang dan beri masa dia untuk berubah. kita ada dua tahun untuk membentuk watak menjadi orang yang rajin solat.

"Dengan cara mengulangi nasihat, kita sebenarnya menanam nasihat dalam minda bawah sedar dia. Sebenarnya banyak tindakan manusia dibuat dalam minda separuh sedar dan spontan. Bila sampai umur 13 tahun kita hadiahkan sejadah baru umpamanya, dan katakan umur dia sudah 13 tahun dan tak boleh lagi lengahkan solat. Tengoklah nanti perubahannya. Pendidikan memerlukan kesabaran," jelas Dr Asmadi.

TUNJUK TELADAN


"Bapa borek anak rintik" atau "Seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul"! Antara faktor yang mungkin menyebabkan anak tidak mendengar cakap ibu bapa kerana sikap ibu bapa sendiri.

"Emak bapak tak buat tapi suruh anak buat. Sebagai contoh, emak bapak cakap tentang sembahyang bila azan tapi mereka sendiri tak buat.

"Lapan puluh peratus pendidikan ialah melalui teladan, 20 peratus melalui kata-kata. Anak-anak lebih percaya apa yang dia nampak daripada apa yang kita cakap atau suruh," kata Dr Asmadi.

Dalam masa yang sama, katanya, ibu bapa juga perlu memastikan anak tahu apa yang dilakukan adalah kerana sayang dan untuk kebaikannya bukan kerana semata-mata mahu memarahinya.

Lengkapkan diri dengan kemahiran keibubapaan untuk menangani karenah anak-anak. Ini nasihat Dr Asmadi kepada ibu bapa.

Ibu bapa, katanya perlu belajar kerana ada sesetengah ibu bapa tidak bersedia untuk menjadi ibu bapa semasa berkahwin. Mereka pun mungkin tidak mendapat asuhan yang sebenarnya untuk menjadi ibu bapa.

"Ada juga kalanya perkara yang kita buat tak salah tetapi kita tidak ulang kerana kita tak sedar pun apa yang kita buat itu betul. Bila ikuti program keibubapaan ini banyak yang kita boleh belajar.

"Melabur sedikit untuk kebaikan kita. Jangan segan bertanya dan banyakkan membaca. Ibu bapa perlu ambil inisiatif untuk mendapatkan kemahiran ini. Jangan ambil mudah dan ingat kita ibu bapa, kita dan tahu semua perkara," kata Dr Asmadi.

Menurut beliau, ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai sepatutnya belajar daripada pengalaman mendidik anak.

"Masalahnya kita tak belajar, masih ulang kesilapan kerana tiada pembaikan dalam ilmu keibubapaan," tambahnya.

Soal "lebih dulu makan garam" juga kata Dr Asmadi tidak lagi boleh digunakan oleh ibu bapa dalam menegur anak.

Ini, katanya kerana orang yang mahu mendakwa "lebih dulu makan garam" perlu lebih berpengalaman.

"Pengalaman datang daripada pertama, ramainya orang yang kita temui dan kedua, ilmu yang kita dapat dan ilmu diperoleh daripada pembacaan atau menghadiri program ilmiah atau sebagainya.

"Anak-anak hari ini ada yang lebih banyak membaca daripada ibu bapa dan lebih ramai kawan termasuk interaksi menerusi alam siber. Mereka juga boleh mendakwa lebih banyak makan garam daripada kita," katanya.

JADI ACUAN


Ada sesetengah ibu bapa yang mengambil sikap lepas tangan dan mengharapkan guru untuk mendidik dan membentuk anak mereka apabila berdepan dengan masalah anak yang tidak mahu mendengar kata.

Menurut Dr Asmadi, ibu bapa sebenarnya ialah orang yang membentuk acuan jati diri anak, bukan guru!

Justeru, kata beliau, jika ibu bapa melepaskan kepada guru untuk membentuk anak mereka, ia tidak akan berlaku.

"Itu sebabnya kita kata tabiat, akhlak, perilaku, pekerti, susila, semuanya ini lahir dari rumah kerana acuan emak bapak itu.

"Ibu bapa kena perbaiki diri, mula solat berjemaah, makan bersama, luangkan lebih masa untuk anak-anak, nasihat dengan cara yang betul dan waktu yang sesuai, ubah cara menegur anak.

"Kesannya tak mungkin nampak dalam masa yang singkat. Ia akan berlaku dalam jangka masa panjang. Acuan itu akan terbentuk perlahan-lahan," kata Dr Asmadi.

-- BERNAMA

Islam Boleh Tangani Krisis Institusi Keluarga

Oleh Melati Mohd Ariff

Rencana bersiri ini cuba mengupas kemelut yang melanda institusi keluarga masyarakat Melayu negara ini di tengah-tengah berleluasanya gejala sosial terutama dalam kalangan remaja.

Ini ialah bahagian kelima daripada enam siri.

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Keluarga ialah institusi penting yang menjadi teras dan tunjang pengukuhan sesebuah masyarakat.

Umpama tiang penegap sebuah rumah, andai goyah tiang, sekilas dilanda badai pasti rumah bukan sahaja tersungkur tetapi akan musnah. Sementelah punah keluarga, berkecailah nusa dan bangsa!

Gejala sosial termasuk penagihan najis dadah, minum arak, sumbang mahram, zina, keganasan rumah tangga serta pembuangan bayi yang semakin banyak dilaporkan tidak mustahil bertukar menjadi lumrah kehidupan masyarakat akhir zaman jika ia tidak ditangani dengan bijak mulai daripada sekarang.

Justeru di tengah-tengah fenomena yang dibimbangi akan terus mencemar kesucian insitusi keluarga Islam negara, pendekatan agama dilihat sebagai jalan terbaik untuk menangani kemelut gejala sosial sebelum "retak menjadi belah" dan "sebelum nasi menjadi bubur".

FAHAMI ISLAM

"Umat Islam perlu diberi kefahaman apa dia Islam yang sebenarnya. Kita dulu faham Islam sebagai Ad'din iaitu cara hidup tetapi kita perlu sedar cara hidup itu meliputi pelbagai aspek bukan setakat solat dan puasa sahaja.

"Ada orang bersolat tetapi dia tidak faham falsafah solat dan apa matlamat solat. Dia buat lebih kerana budaya kerana cetek ilmu. Hal yang sama dengan puasa dan ibadat haji.

"Begitu juga membaca Quran. Kita membaca bertaranum, bertajwid lepas itu menghafal tetapi kita tidak mengkaji Quran untuk mengambil panduan daripadanya," demikian menurut Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dalam wawancara dengan Bernama di pejabat IKIM di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, ada juga umat Islam yang melihat Islam itu dalam petak yang sempit dan tidak melihat kerja lain yang mereka lakukan sebagai satu ibadat.

"Ini jelas menunjukkan pemahaman agama mereka kurang sedangkan walau pun kita tidak berpendidikan tinggi dan hanya bekerja di kilang atau sebagai tukang kebun, itu juga dikira ibadat,"kata Nik Mustapha.

MENYUSUN MASYARAKAT

Nik Mustapha menekankan bahawa agama Islam sebenarnya berperanan menyusun kehidupan manusia baik di peringkat individu dan masyarakat.

Pada dasarnya, kata beliau, dalam organisasi masyarakat, apa yang diperlukan ialah mewujudkan sebuah masyarakat yang berperadaban, serba berkemajuan, hidupnya aman serta mendukung keluhuran undang-undang.

"Bayangkan jika tidak ada peraturan jalan raya, jika lampu trafik rosak. Huru hara akan berlaku. Ini bermakna mesti ada peraturan.

"Dalam masa yang sama hidup kita mesti ada keceriaan, hobi, rekreasi kerana semuanya itu ialah sebahagian daripada keperluan hidup. Kalau kita memahami semuanya itu, barulah nampak hidup ini luas dan semua aspek kehidupan itu agama," jelas beliau.

Nik Mustapha turut menekankan bahawa di dalam AlQuran ada menyebut bahawa semua amalan umat Islam di dunia walaupun sebesar zarah akan dihitung pada hari akhirat.

"Segala yang kita lakukan kerana Allah akan dikira sebagai ibadat,"tambahnya.

KEMELUT PERADABAN

Kemelut yang mengacau-bilaukan masyarakat hari ini lebih kepada kemelut peradaban bukan kemelut ekonomi, demikian pandangan Nik Mustapha.

Beliau merujuk kepada keadaan ekonomi Barat yang disandarkan kepada ideologi yang bercanggah dengan tabiat kemanusiaan, kehidupan masyarakat yang menganjurkan kepada kewujudan masyarakat yang 'permissive', bebas tanpa institusi keluarga yang sempurna.

"Macam mana tamaddun Barat tak runtuh. Kehidupan mereka banyak kepincangan, perkahwinan mereka tolak. Berkahwin tidak mempunyai erti bagi mereka kerana kalau pun berkahwin, ada pasangan yang masih mengamalkan pergaulan bebas dengan lelaki atau perempuan lain.

"Akhirnya ramai yang memilih untuk bersekedudukan, tidak ada ikatan perkahwinan," jelas Nik Mustapha.

Menurut beliau, umat Islam perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di dunia Barat dan membina kembali peradaban baru dengan meningkatkan kefahaman terhadap Islam.

"Dengan cara ini barulah kita dapat mengurangkan kerenah atau gejala sosial,"katanya.

MENJADI RAPUH

Tekanan hidup dilihat sebagai antara faktor yang membuatkan institusi keluarga menjadi rapuh. Tekanan hidup yang semakin hebat juga mendorong sesetengah orang membunuh diri!

Mereka yang menghuni kota metropolitan Kuala Lumpur umpamanya bergelut dengan tekanan hidupnya amat hebat.

Kos sara hidup begitu tinggi memaksa sesetengah warga kota terutama yang berpendapatan rendah melakukan lebih satu pekerjaan.

"Lepas balik pukul lima, keluar balik kerja lagi sampai jauh malam semata-mata untuk membiayai keperluan hidup dan isteri juga turut terpaksa keluar bekerja. Di mana masa untuk anak-anak?

"Kita bercakap tentang kemuliaan hidup dunia dan akhirat. Macam mana hendak mulia kalau nak makan pun tak ada, hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kemuliaan di dunia termasuk aspek ekonomi," jelas Nik Mustapha.

Beliau turut menyentuh aspek keselamatan yang banyak menggugat kesejahteraan hidup masyarakat hari ini.

"Aspek keselamatan juga penting. Kita merasa selamat di mana sahaja kita berada. Hendak pergi ke mana-mana jam tiga pagi rasa selamat. Nak berjalan bawa beg selamat. Ini bawa beg kena kepit, takut diragut. Ini bukan sebuah masyarakat yang berperadaban.

"Mengapa berlaku ragut? Sebab tak ada kerja. Jadi kena fikir. Sebab itu dalam Islam harta mesti mengalir. Dasar Kewangan mesti mampu mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan menghapuskan kemiskinan. Sistem pendidikan juga perlu mampu menambah nilai kepada pekerjaan seseorang,"tambahnya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan sistem penyusunan masyarakat yang tidak bersandarkan kepada nilai keadilan dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat sudah tentu akan melahirkan banyak kepincangan.

"Hatta akan berlaku penindasan dan mencetuskan tahap kemiskinan yang begitu ketara. Sudah pasti kita tidak mungkin mencapai kemajuan ekonomi kerana maju mundurnya ekonomi seseorang individu atau sesebuah masyarakat ada kaitan dengan keadaan masyarakat.

"Di sinilah letaknya kepentingan institusi keluarga yang akan mempengaruhi kelakuan dan penyusunan sesebuah masyarakat," tambah Nik Mustapha.

TIDAK BOLEH BERGANTUNG

Dalam masa yang sama, Ketua Pengarah IKIM ini menegaskan beban menyediakan pekerjaan bukan semata-mata terletak di bahu pemerintah.

Rakyat juga, katanya tidak harus berterusan bergantung kepada bantuan subsidi kerajaan.

"Ada yang malas untuk mencari kerja sedangkan dalam Islam bekerja itu satu kefardhuan. Setiap daripada kita mesti bekerja dan tidak boleh bergantung kepada keringat orang lain.

"Contoh, kalau saya seorang suami, saya mesti menyediakan rumah untuk keluarga saya berteduh. Kalau pendapatan tidak mencukupi, saya perlu berazam untuk bekerja lebih kuat untuk kelangsungan hidup isteri dan anak-anak, " katanya.

Di samping bekerja, menurut beliau, setiap individu perlu berusaha untuk meningkatkan kemahiran bagi menambah nilai kerja masing-masing.

"Kita bukan sahaja menyumbang kepada keperluan kita serta membiayai keperluan kita, kita juga menyumbang kepada keperluan orang lain. Kalau kita lakukan semua ini, kita nampak agama itu syumul, mencakupi semua isi kehidupan manusia," katanya.

PERLUNYA MENDIDIK

Beliau seterusnya menekankan bahawa pendekatan utama yang perlu diberi perhatian oleh pucuk pimpinan ialah sistem pendidikan supaya umat Islam dapat melihat Islam ialah agama yang menjana peradaban.

Undang-undang Islam atau hukuman, katanya, boleh dilaksanakan selepas pendekatan untuk mendidik dalam menyusun masyarakat diambil.

"Mengapa berlaku pembuangan bayi? Mungkin terlanjur, pekerjaan tak ada, kos sara hidup tinggi. Mengapa berlaku perzinaan? Mungkin hendak kahwin pun susah.

"Mana Rasulullah SAW seronok ketika wanita datang mengakui dia berzina. Nabi berkata lahirkan anak dulu, besarkan anak dulu," kata Nik Mustapha.

Menurut beliau, natijahnya, pertama, umat Islam perlu memberi tumpuan kepada mengamalkan panduan hidup yang tepat dengan membetulkan pandangan hidup yang ada menerusi pendidikan.

Di samping itu, katanya umat Islam perlu meningkatkan amalan kelakuan dan akhlak yang baik, menguasai kemahiran hidup serta menanam minat bekerja semoga setiap individu mampu menyumbang kepada kemajuan dan kebajikan masyarakat.

TIDAK MUDAH

Apa juga penyelesaian kepada masalah semestinya tidak mudah dan tidak ada jalan pintas.

Begitu juga jika dalam soal membangun dan menyusun sebuah masyarakat apatah lagi jika dalam masyarakat itu sudah ada bibit-bibit keretakan.

Nik Mustapha tegas menyatakan: "Keutamaan misi Islam ialah hendak membina masyarakat yang berperadaban. Ini tidak mudah dan ia menuntut kita menutup semua pintu kelemahan ahli masyarakat.

"Salah satu pintu ini ialah budaya hidup bebas, pergaulan bebas dan perhubungan bebas. Pendekatan tentang hukum minum arak juga perlu diteruskan dan kemudahan mendapat arak ini mesti ditutup."

Dalam masa yang sama beliau berkata media cetak dan elektronik perlu berperanan untuk membantu kerajaan dalam menyusun masyarakat Islam yang dilanda pelbagai kekalutan.

Menurut beliau, ada sesetengah media yang gemar menonjolkan artis yang berpakaian tidak senonoh dan artis ini pula menjadi idola.

Ada juga media cetak yang terlalu mensensasikan perkara yang disifatkannya sebagai 'mengarut' dan setakat mahu menjual akhbar.

"Filem atau drama Melayu pula memaparkan kehidupan mewah, dunia korporat, rumah agam, cerita berunsur mistik, keluarga yang berantakan. Bandingkan dengan cerita Korea yang berkisar kepada hal keluarga yang membuat kita seronok menontonnya

"Semuanya ini melemahkan masyarakat Melayu sebab mereka disogokkan dengan perkara-perkara yang begitu," kata Nik Mustapha.

PERANAN MASJID

Di samping itu, beliau turut mencadangkan supaya pengurusan masjid memperluas peranan masjid dalam usaha menyusun peradaban masyarakat Islam.

Menurut beliau, di zaman Rasululullan SAW, baginda menggunakan masjid sebagai pusat pemerintahan, tempat perhimpunan dan perbincangan di mana kemudiannya wujudlah sebuah masyarakat yang mempunyai peraturan dan sistem.

"Fungsi masjid perlu diperluas. Masjid boleh berfungsi untuk memberi panduan dan maklumat kehidupan untuk masyarakat, umpamanya mengenai soal berhubung pemakanan, kesihatan dan menjadi pusat riadah, sukan dan seni mempertahankan diri.

"Kita perlu menggunakan pendekatan kreatif untuk menarik masyarakat termasuk golongan muda untuk ke masjid. Mereka yang merempit itu mungkin kerana kurang aktiviti riadah," tambahnya.

-- BERNAMA

Khamis, 6 Mei 2010

Sambutan Hari Guru SKTR 1

SKTR 1 akan mengadakan Sambutan Hari Guru peringkat sekolah pada 17 Mei 2010. Aturcara program adalah seperti berikut:

7.30 pg - Perhimpunan Rasmi Sambutan Hari Guru
- Penyampaian Anugerah
9.00 pg - Rehat
10.00 pg - Permainan/ sukaneka
11.00 pg - Persembahan murid dan guru
12.00 t/hari - Jamuan

Semua warga SKTR 1 adalah diwajibkan hadir untuk memeriahkan sambutan tersebut.

Gotong Royong Perdana

SKTR1 dengan kerjasama PIBG akan menganjurkan program Gotong Royong Perdana seperti butiran berikut:

Tarikh: 15 April 2010 (Sabtu)
Masa: 8.00 pagi - 12.00 tengah hari

Tentatif
8.00 pg - Berkumpul di Dataran Muafakat
8.15 pg - Ucapan Guru Besar
8:25 pg - Taklimat ringkas dan pembahagian lokasi
10.00 pg - Rehat
10.45 pg - Aktiviti disambungbapa adalaj
11.45 pg - Berkumpul dan menyimpan alatan
12.00 t/hari - Bersurai

Semua warga SKTR1 dan ibu bapa/ penjaga murid adalah dijemput hadir untuk menjayakan program ini.