INFO TERKINI



"Minda dan Budaya di Perkasa, Sejarah Tercipta"
Selamat Datang Ke Weblog SK Taman Rinting 1

Isnin, 28 Jun 2010

Program Membuat 'Banner' UPSR

Pada 26 Jun 2010 (Sabtu) lalu, murid-murid Tahun 6 telah menyertai Program Membuat 'Banner' sempena UPSR 2010. Setiap kelas telah diwakili oleh 10 orang murid ke program tersebut.

Program bermula pada jam 10.00 am di bawah anjuran Unit Bimbingan & Kaunseling SKTR1. Setiap kumpulan yang terlibat tidak pulang dengan tangan yang kosong, tetapi berjaya membawa pulang saguhati yang telah disediakan kepada semua peserta.


Tahniah diucapkan kepada peserta yang terlibat khasnya dan semua Tahun 6 amnya. Diharapkan 'Banner' yang dihasilkan menjadi simbolik kejayaan besar kepada murid Tahun 6 yang bakal menduduki UPSR tidak lama lagi.

Selamat maju jaya!

KH: Pertandingan Rekacipta

Pada hari Sabtu lalu (26 Jun), Panitia Kemahiran Hidup (KH) telah menganjurkan Pertandingan Rekacipta bagi Tahun 2010. Enam kumpulan telah bertanding yang terdiri daripada murid-murid Tahun 4 dan 5. Tema pertandingan adalah menggunakan bahan-bahan guna semula.

Berikut ialah keputusan pertandingan:-

Pertama : 4 Terbilang
Kedua : 5 Cemerlang
Ketiga : 4 Gemilang

Para peserta menunjukkan kesungguhan dalam menyiapkan hasil kerja kumpulan masing-masing. Tahniah diucapkan kepada kumpulan yang berjaya mendapat markah tertinggi. Kepada kumpulan yang lain, usah berputus asa. Tahun hadapan boleh mencuba lagi.

Foto Sekitar Pertandingan

Biomanis Daripada Pemanis Semula Jadi

Sumber: Utusan Malaysia


satu botol Biomanis boleh digunakan untuk 400 gelas air.

TIDAK ramai yang mengetahui apakah pokok stevia, apatah lagi maklum akan khasiatnya. Namun segelintir daripada kita yang sukakan kemanisan tetapi bencikan kemudaratan mungkin memilih pokok ini sebagai pemanis.

Ini kerana stevia sudah mula dikenali sebagai alternatif kepada gula untuk pemanis dalam minuman.

Ada yang melabelkan 'gula sebagai racun', 'gula lebih bahaya daripada dadah', 'gula pembunuh senyap' dan macam-macam lagi.

Di sinilah stevia memainkan peranan kerana bahaya gula telah menampakkan impak dan kesan sangat positif kepada masyarakat.

Pengambilan makanan manis yang mengandungi tinggi kalori tanpa khasiat dan serat dalam jangka panjang mampu menyingkirkan beberapa vitamin dan zat galian dari dalam badan.

Melihatkan betapa seriusnya peningkatan pesakit diabetes ini, Perintis Dagangan Sdn. Bhd. (Perintis), sebuah syarikat yang telah lama terlibat dalam kajian dan pembangunan hasil pertanian ini telah mengeluarkan produk Biomanis iaitu sejenis pemanis semula jadi yang berasaskan 100 peratus ekstrak daun pokok stevia gred A+ dengan kadar kemanisan yang lebih tinggi berbanding gula tebu.

Bagaimanapun Biomanis ini tidak mengandungi kalori, lemak, kolestrol, protein, toksik, glukos dan karbohidrat.

Memandangkan Biomanis mempunyai kadar kemanisan yang tinggi berbanding gula, maka sebotol produk tersebut boleh digunakan untuk 400 gelas air. Sekotak Biomanis yang mengandungi lima botol ini boleh digunakan untuk tempoh setahun.

Pembelian sekotak Biomanis dilihat lebih praktikal berbanding penggunaan sebotol sahaja memandangkan tindak balas gula stevia pada badan mengambil masa untuk menolak segala stok glukos dan kalori yang terdapat pada darah yang telah lama berada di dalam badan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perintis, Norzana Rafie, selain daripada khasiat dan kelebihan semula jadi secara biologi yang terkandung di dalam Biomanis ini proses pembuatan produk ini disulam dengan beberapa khasiat dan kebaikan secara metafizik.

''Ini termasuk bacaan 30 juzuk al-Quran, ayat dan selawat syifa', doa-doa mustajab dan terbaik dari al-Quran dan hadis, Asma al-Husna dan banyak lagi,'' katanya.

Menurut beliau, ia bertujuan menambahkan keberkatan dan keberkesanan penggunaan produk ini sesuai dengan peranan Biomanis sebagai pemanis semula jadi terbaik.

Melalui beberapa ujian kadar gula dalam darah oleh beberapa doktor penasihat, Biomanis menunjukkan kesan yang amat menakjubkan kerana ujian ke atas kadar gula selepas dua jam menunjukkan kadar gula adalah sama seperti sebelum meminumnya.

Ini jelas membuktikan dengan menggunakan Biomanis dalam air, ia tidak menambahkan kadar glukos dan kalori dalam darah.

Semua orang yang mengamalkan Biomanis juga boleh membuat ujian darah sendiri sekiranya ingin mendapatkan pengesahan dan menambah keyakinan.

Biomanis dikatakan pemanis semula jadi paling mesra dengan pesakit diabetes, darah tinggi dan obesiti. Menurut satu kajian mendapati jumlah karbohidrat, kalori dan glukos yang terkandung di dalam gula tebu antara penyumbang kepada kenaikkan paras gula dalam darah.

Dengan menggantikan penggunaan gula tebu kepada Biomanis ini secara amalan yang konsisten dan berpanjangan, kita mampu menghentikan kemasukan kalori, karbohidrat dan glukos yang baru secara berlebihan dalam badan.

Lama-kelamaan lemak dan kalori yang dah lama tersimpan dalam badan akan terbakar untuk bekalan tenaga.

Memandangkan Biomanis tidak menghasilkan glukos maka ekstrak ini mempunyai potensi untuk menjadi agen antihiperglisemik untuk diabetes.

Pengambilan gula stevia yang konsisten dan kerap dalam menggantikan gula tidak akan memudaratkan memandangkan sifat daun stevia yang sifar segalanya.

Produk berkenaan dijual dalam botol dengan harga RM59.90 yang boleh digunakan untuk dua bulan setengah dan satu kotak besar yang mengandungi lima botol dijual pada harga RM200 sekotak boleh digunakan untuk tempoh setahun.

Memandangkan satu botol Biomanis boleh digunakan untuk 400 gelas air maka pelanggan hanya perlu membelanjakan kira-kira 10 sen sahaja untuk segelas minuman sekali gus berpeluang menikmati hidup yang lebih sihat dan menjauhi kesan bahaya gula.

Selain digunakan dalam minuman seperti teh, kopi atau minuman kegemaran lain, Biomanis juga disarankan penggunaannya ketika mengambil minuman berherba seperti teh misai kucing, mas cotek, tunjuk langit dan lain-lain bagi menambahkan keberkesanan herba tersebut pada badan.

Selain itu, sifat ekstrak daun stevia yang tahan pada suhu yang tinggi, terikat dan tidak terampai ini boleh digunakan di dalam masakan berempah dengan menambah secubit Biomanis ke dalam masakan bagi menambahkan keenakan masakan dan mengelakkan masakan bersantan dari cepat basi.

Khamis, 24 Jun 2010

Tahniah: Kejohanan Sukan MSSM 2010

Tahniah diucapkan kepada pasukan Ragbi Negeri Johor kerana berjaya menjuarai pertandingan ragbi MSSM peringkat kebangsaan bawah 12 tahun Kategori Bowl yang telah diadakan pada 7 Jun 2010 di Kelantan. Pertandingan tersebut telah dianjurkan oleh MSSM dengan kerjasama Milo-Nestle.

"Bersama Ke Arah Kecemerlangan Sukan Sekolah"

Isnin, 21 Jun 2010

Selamat Kembali Ke Sekolah

Selamat kembali ke sekolah diucapkan kepada semua murid SKTR 1. Semoga cuti sekolah yang lalu tidak tersia begitu sahaja dan terisi dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat bersama keluarga.

Hari ini merupakan hari pertama bagi sesi kedua persekolahan. Ini bermakna murid-murid tahun 6 akan bertungkus-lumus untuk membuat persiapan bagi menghadapi UPSR 2010 pada 21-24 September ini. Mudah-mudahan, semua murid dapat melangkah dengan azam dan tekad yyang baru untuk menjadi murid yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Warga guru SKTR1 sentiasa berharap dan berdoa untuk kejayaan anda semua.

Selamat maju jaya kepada semua!

Jumaat, 4 Jun 2010

Kelas Tambahan UPSR

Semua murid tahun 6 diwajibkan menghadiri kelas tambahan yang akan dijalankan pada cuti persekolahan ini.

Tarikh:6,7 dan 8 Jun 2010
Masa:7.30 pagi -12.00 tengahari

Bengkel dan Teknik Menjawab Soalan UPSR 2010

Badan bertindak SKTR 1 akan menganjurkan bengkel untuk murid- murid Tahun 6 pada tarikh seperti berikut:

Bahasa Melayu dan Sains - 5 Jun 2010( Sabtu )
Matematik - 7 Jun 2010 ( Isnin)
Bahasa Inggeris - 25 Jun 2010( Jumaat)

Semua murid tahun 6 diwajibkan menghadiri bengkel tersebut .

Cuti Sekolahan Kembali Lagi


Tahniah . Anda telah pun selesai menjalani peperiksaan pertengahan tahun .Diharap anda dapat menjawab dengan baik sekali. Cuti pertengahan persekolahan akan bermula pada 6 Jun hingga 20 Jun . Di harap semua anak didik dapat mengisi cuti persekolahan dengan baik. Sila siapkan kerja sekolah yang telah diberi oleh guru.

Selasa, 1 Jun 2010

Kejohanan Sukan MSSM 2010

SKTR 1 mencatat rekod setelah dua orang murid dari SKTR1 dapat mewakili dua acara sukan di peringkat kebangsaan. Mohd Ikram B. Nasiran dapat mewakili Johor dalam perlawanan bola sepak yang akan diadakan di Terengganu pada 7 Jun 2010 ini.


Manakala Mohd Khaleely Romdan B. Md Edleen pula akan mewakili Johor dalam perlawanan ragbi di Kelantan pada 7 Jun 2010 ini juga.

Guru-guru di SKTR 1 sentiasa mendoakan kejayaan anda semua.

i-ngaji.net Permudah Pembelajaran al-Quran

Sumber: Utusan Malaysia


Abdul Shukor Mohamed meneliti bacaan salah seorang pelajar yang mengikuti kelas melalui i-ngaji.net.


TIDAK ada istimewanya dialog-dialog di atas. Malah ia adalah rungutan biasa dan paling kerap diucapkan oleh masyarakat kita bila bercakap mengenai pengajian al-Quran ataupun kelas-kelas pengajian Islam lain.

Namun setiap sesuatu masalah itu ada jalan pengelesaian. Malu untuk belajar al-Quran secara bersemuka dengan ustaz atau masa yang tidak mengizin ada cara untuk atasi.

Lagi pula selari dengan zaman teknologi maklumat (IT), pembelajaran kitab suci itu juga dipermudahkan.

Jika dahulu kita kena mengadap guru jika mahu mengaji, kini boleh dilakukan hanya dengan mengadap komputer.

Untuk pelajar dewasa terutamanya, pembelajaran al Quran secara maya ini lebih praktikal.

Belajar al-Quran secara maya? Mungkin ada yang rasa pelik, tetapi itu yang ditawarkan oleh i-ngaji.net.

Menurut pengendalinya, Abdul Shukor Mohamed, 51, i-ngaji.net adalah satu program pembelajaran al-Quran secara dalam talian (online) dengan menggunakan perisian Skype.

Dia yang mengendalikan kelas pengajian al-Quran dari rumah ke rumah sejak 15 tahun lalu berkata, idea mewujudkan kelas al-Quran secara maya itu sudah lama tercetus. Tetapi ia diusahakan secara serius sejak setahun lalu.

"Semuanya bermula dengan sembang-sembang di laman sosial di mana ramai kenalan menyuarakan pelbagai kesukaran dan ragam yang dihadapi dalam usaha memantapkan ilmu al-Quran terutamanya bab mengaji.

"Pada masa sama, bila kita lihat pengendalian sidang video, program interaktif al-Quran menggunakan talian telefon, sedikit sebanyak menimbulkan keyakinan menghasilkan satu program yang memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)," jelasnya.

Malah kata Abdul Shukor, masalah kesihatan iaitu kaki kiri terpaksa dipotong akibat kencing manis pada 2006 juga pendorong kepada pengajaran al-Quran secara maya.

Katanya, insiden itu menjadi titik-tolak kepada usaha mencari satu alternatif kaedah atau program memperkasakan bacaan al-Quran.

Beliau yang ditemui Mega, baru-baru ini berkata, ilham itu hadir dengan iringan niat agar dapat terus menyumbang ilmu yang Allah kurniakan.

Selain itu, ia memastikan kejayaan usaha untuk membudayakan al-Quran terlaksana.

Jika secara konvensional murid berjumpa dengan guru atau kadang-kadang guru ke tempat mereka untuk mengajar al-Quran.

Kini, melalui i-ngaji.net, mereka yang berminat belajar al-Quran boleh berada di mana sahaja sama ada di rumah atau di pejabat. Guru pula boleh memberi tunjuk ajar kepada murid secara online menggunakan depan komputer.

Yang pastinya, kaedah ini memberi ruang kepada mereka yang sibuk tetapi masih mahu menajamkan bacaan al-Quran.

Melalui sistem ini, pelajar boleh memilih untuk belajar dari mana-mana tempat yang selesa dan sesuai denga waktu mereka.

Peserta boleh memilih lima slot masa dalam seminggu (Isnin - Jumaat) berdasarkan kelapangan. Setiap slot adalah selama 30 minit dan diperuntukkan untuk menyudahkan bacaan sekurang-kurangnya empat muka al-Quran.

Ini bermakna, peserta boleh menghabiskan satu juzuk al-Quran dalam masa seminggu (4 muka x 5 hari > 20 muka).

Sekiranya mengikuti kelas secara konsisten, peserta akan khatam 30 juzuk al-Quran dalam masa 30 minggu.

Memandangkan tahap pencapaian seseorang pelajar itu berbeza antara satu sama lain, maka mereka akan diuji dahulu dari segi bacaan, sebelum memulakan kelas pengajian.

Daripada situ kata Abdul Shukor, para pelajar akan diajarkan berdasarkan keupayaan dan kebolehan mereka.

Kata beliau, ia sejajar dengan objektif utama program i-ngaji.net diwujudkan, iaitu memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk melancarkan bacaan al-Quran tetapi agak kesempitan masa.

Suri rumah yang susah untuk meninggalkan rumah kerana tanggungjawab dan ketiadaan kenderaan untuk ke kelas al-Quran juga kini mempunyai alternatif untuk melancarkan bacaan mereka dengan betul dan bertajwid.

Di samping itu, kaedah itu juga menjimatkan masa pelajar dan guru. Pelajar tidak perlu mengambil masa untuk bergerak ke tempat guru atau sebaliknya, dan masa perjalanan tersebut boleh diperuntukkan kepada perkara atau orang lain.

Selain menjimaktan masa, kos perbelanjaan untuk pengangkutan juga dapat dijimatkan.

Yang paling menarik, kaedah ini dapat menarik orang dewasa dan belia yang malu menghadiri kelas al-Quran.

Menjelaskan lanjut mengenai i-ngaji.net kata Abdul Shukor, konsep yang digunakan pakai sama seperti program-program mengaji al-Quran di radio atau televisyen.

Mereka yang berminat untuk belajar akan menelefon guru al-Quran dan membuat bacaan sambil didengar, dipandu dan dibetulkan oleh guru.

"Bezanya, i-ngaji.net menggunakan perhubungan Internet menggantikan telefon. Perisian yang digunakan untuk perhubungan Internet ini adalah Skype.

"Skype dipilih sebagai medium komunikasi dalam kaedah ini kerana ia percuma. Mereka yang berminat hanya perlu mempunyai talian Internet.

"Jika belajar melalui telefon, kita mungkin perlu membayar bil telefon sehingga ratusan ringgit sebulan.

"Di samping itu, Skype juga membolehkan kelas dilakukan secara sidang video. Guru boleh bersemuka dengan pelajar dan pelajar akan lebih terasa kehadiran guru di hadapan mereka," tegasnya i-ngaji.net bukan diwujudkan untuk tujuan komersial tetapi memberi kemudahan kepada mereka yang ingin belajar membaca al-Quran.

Justeru katanya, bayaran RM50 sebulan, untuk 20 sesi kelas, hanya sebagai bukti komitmen pelajar tersebut.

Malah Abdul Shukor menekankan bahawa apa yang diusahakan itu bukan berorientasikan perniagaan.

Malah secara purata, bayaran yang dikenakan hanya RM2.50 untuk kelas selama 30 minit.

Kejohanan Olahraga Pra- Sekolah 2010

Pada 26 Mei 2010 (Rabu), PPD Pasir Gudang telah menganjurkan Kejohanan Olahraga Pra- Sekolah peringkat daerah Pasir Gudang yang diadakan di Stadium Tan Sri Hj Hassan Yunos, Larkin. Jawatankuasa kejohanan pada kali ini telah dipengerusikan oleh SKTR1 dan dibantu oleh sekolah-sekolah kebangsaan di daerah Pasir Gudang sendiri.
Acara bermula pada sekitar 9.00 pagi dan dimeriahkan dengan kehadiran para ibu bapa untuk menyaksikan kejohanan tersebut. Ternyata ramai peserta di kejohanan ini, mempunyai bakat yang terserlah dalam olahraga dan boleh dilatih sebagai pelapis pada masa hadapan.
Para pemenang di kejohanan ini akan mewakili daerah Pasir Gudang di peringkat negeri yang akan berlangsung pada 5 Jun 2010 di Kota Tinggi.
Tahniah diucapkan kepada dua peserta cilik dari SKTR 1 kerana dapat mengumpul dua pingat dan sekaligus memecahkan rekod dalam acara lompat tinggi. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada guru-guru yang terlibat dalam menjayakan kejohanan ini.