ARKIB UTUSAN : 01/11/2011
BANYAK isu berkaitan bahasa Melayu yang timbul kebelakangan ini terutamanya berkaitan kedudukan sebagai bahasa kebangsaan dan penggunaannya dalam urusan rasmi harian.
Dalam usaha mengembalikan martabat bahasa kebangsaan, komitmen terhadap transformasi bahasa juga perlu digerakkan selaras dengan gagasan 1Malaysia dan moto 1Bahasa 1Bangsa 1Negara.
Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman menyatakan rasa kecewa bila sebilangan orang Melayu memandang sepi dan tidak berbangga dengan bahasa warisan berbanding kaum lain dengan bahasa ibunda mereka.
Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Kebudayaan menegaskan, tugas pelaksanaan dasar bahasa juga bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata .
"Sungguhpun begitu, kepimpinan politik dan sektor awam tetap perlu mendahului dan menjadi contoh dalam penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul.
"Pencapaiannya sudah ada, tetapi akhir- akhir ini ada kecenderungan bahasa digunakan secara bercampur dalam urusan rasmi," katanya ketika berucap pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-8 baru-baru ini.
Beliau turut membangkitkan persoalan, transformasi bahasa yang bagaimana diperlukan bangsa Malaysia sesuai dengan dasar Program Transformasi Kerajaan (GTP)?
Melalui pemerhatian beliau, pemeriksaan semula perlu dijalankan ke atas tiga persepsi dalam proses transformasi bahasa dan persuratan iaitu; persepsi pencapaian pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan, penegasan semula dasar bahasa dan persepsi pembaharuan strateginya.
"Perjuangan memartabat dan memperkasakan bahasa tidak akan menemui jalan noktahnya selagi adanya kealpaan, sikap sambil lewa atau acuh tidak acuh.," katanya..
Oleh itu, tegasnya, transformasi bahasa dan persuratan perlu dilakukan demi ketahanan negara bangsa dan mencapai aspek kehidupan berkebudayaan tinggi.
"Cuba kaji apakah dan sejauh manakah kemajuan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Apakah komunikasi lisan dan tulisan sudah digunakan sepenuhnya bagi semua maksud rasmi kerajaan?
"Apakah ada 'model' penggunaan bahasa bermutu untuk dicontohi rakyat daripada kalangan pemimpin, para pegawai mahupun institusi kerajaan? Bagaimana pula bahasa komunikasi dalam jabatan dan antara jabatan sektor awam, komunikasi antara sektor awam dengan sektor swasta atau korporat dan sebaliknya," soal beliau.
Antara yang disarankan beliau adalah melihat penggunaan nama khas dan bahasa kebangsaan di tempat awam, industri perhotelan, pelancongan serta siaran media massa dengan bahasa yang nyata mendukung citra kenegaraan.
"Tetapi, bagaimanakah dapat dilakukan jika komitmen antara sektor awam dengan swasta tidak seganding? Sepatutnya, tanpa paksaan, citra bahasa kebangsaan terpampang penggunaannya di mana- mana jua. Apakah komunikasi antara sektor swasta dan korporat dengan pelanggan dalam negeri atau sebaliknya masih puluhan tahun kekal melalui bahasa Inggeris?
"Cuba kita perhatikan pula suasana komunikasi dalam bentuk iklan, nama khas, taman perumahan, jalan-raya, nama-nama gedung perniagaan di kota-kota di samping bahasa untuk pengumuman dan arahan yang dipamerkan di tempat awam, khalayak ramai mahupun siaran media massa," tegasnya.
Beliau berharap penegasan semula pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan hendaklah digerakkan dengan pendekatan dan strategi transformasi baru memandangkan pencapaian dasar bahasa yang tidak memuaskan dalam beberapa bidang utama kehidupan rakyat sebelum ini.
"Komitmennya mesti lebih kukuh dan dilakukan pembaharuan usaha. Maksudnya, kefahaman, kesedaran pengembangan dan pembinaan aspek-aspek bahasa melalui pembangunan infrastruktur bahasa Melayu tidak boleh dipandang sepi lagi.
"Tetapi, apakah pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan sudah diinsafi semua pihak? Apakah kita memerlukan satu undang-undang baru atau dipinda peruntukan-peruntukan tertentu Akta Bahasa Kebangsaan," ujarnya.
Beliau menegaskan, martabat Bahasa Melayu yang sudah ditetapkan dalam Perlembagaan tidak menjadi isu sebaliknya susunan strategi pelaksanaannya yang perlu lebih teratur.
Selain itu, beliau berharap hasil sastera berbentuk kreatif atau bukan kreatif seperti novel, cerpen, puisi dan segala hasil sastera yang ada dalam bentuk sastera klasik dan moden yang selama ini memaparkan nilai-nilai murni dan persamaan yang membentuk jiwa manusia turut dimanfaatkan.
"Masih ada sikap tidak celik sastera kerana subjek kesusasteraan tidak berkembang di sekolah. Sastera dilihat bukan satu subjek keperluan industri sedangkan di dalamnya sarat dengan pendidikan nilai-nilai patriotisme, nasionalisme, cinta negara, rasa kekitaan dan puluhan nilai murni lain.
A. Aziz menegaskan, Malaysia tidak memerlukan dasar pelbagai bahasa kerana langkah itu hanya akan membawa kepada kemusnahan perpaduan kebangsaan dan keharmonian. Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa serantau yang akan menimbulkan kebanggaan, rasa kesatuan dan perpaduan, bukan dipandang dengan sebelah mata.
Beliau berpendapat, aspirasi 1Bahasa 1Bangsa 1Negara dalam konteks 1Malaysia dapat dicapai sekiranya bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam segala urusan kehidupan sementara Malaysia sendiri memimpin gerakan menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa komunikasi antarabangsa sebelum abad ke-21 melabuhkan tirainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan