INFO TERKINI



"Minda dan Budaya di Perkasa, Sejarah Tercipta"
Selamat Datang Ke Weblog SK Taman Rinting 1

Khamis, 21 Julai 2011

e-Disiplin Akan Diperluaskan


Utusan: 18/07/2011

PUTRAJAYA 18 Julai – Sistem Kawalan Disiplin Murid atau e-Disiplin yang dilancarkan hari ini untuk mengesan dan mengawal tingkah laku murid secara dalam talian, akan diperluaskan ke semua sekolah di seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud berkata, melalui e-Disiplin iaitu aplikasi maklumat komunikasi dan teknologi (ICT) berasaskan web, guru disiplin akan melapor salah laku pelajar secara dalam talian.

Ini sekali gus memudahkan kementerian mengukur, mengesan dan mengawal selia disiplin murid sebelum melaksanakan tindakan selanjutnya dan akan dilaksanakan sebagai program pembangunan dalam Rancangan Malaysia ke-10, pada tahun ini, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan komputer riba kepada 97 buah sekolah menengah Felda seluruh negara, yang terlibat dalam pelaksanaan e-Disiplin serta pelancaran e-Disiplin, di sini hari ini.
Sejak 2009 sehingga kini, e-Disiplin hanya dilaksanakan di 317 sekolah termasuk 97 sekolah menengah Felda di seluruh negara yang mendapat maklum balas positif daripada guru-guru kerana mencatatkan penurunan masalah disiplin murid yang begitu signifikan, katanya. – Bernama

Kunjungan Pegawai PPD

 Pada hari Rabu, 20 Julai lalu, SKTR1 telah menerima kunjungan daripada Yang Berbahagia, Pn. Hjh. Saadiah Bt Said (gambar), Pegawai PPD Pasir Gudang bersama En. Hashim B. Zainal (Unit Akademik). Murid-murid Tahun 6 bertuah kerana berkesempatan bertemu muka dengan beliau dalam satu perhimpunan khas. Dalam perhimpunan tersebut, Puan PPD telah menyampaikan ucapan dan memberi suntikan semangat kepada murid-murid bagi menduduki UPSR tidak lama lagi.

Dalam kunjungan tersebut, perjumpaan khas dengan guru-guru Tahun 6 turut diadakan. Analisis keputusan ujian yang lepas telah dibincangkan yang dipengerusikan oleh Tuan Guru Besar, En. Mohamad Salleh B. Mirzan. Lanjutan perbincangan tersebut, guru-guru telah diberikan kata-kata semangat dan disarankan dengan beberapa langkah bagi meningkatkan kecemerlangan murid-murid.

Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih atas kunjungan tersebut.

Isnin, 11 Julai 2011

Karnival Ragbi Johor 2011


SKTR1 telah menyertai pertandingan Karnival Ragbi Johor yang telah diadakan pada 9 - 10 Julai 2011di Dataran Bandaraya Johor Bahru, Johor. Pasukan SKTR1 telah menyertai pertandingan tersebut bagi kategori bawah 11 tahun yang terdiri daripada 12 sekolah rendah seluruh negeri Johor.



Pasukan SKTR1 terdiri daripada murid-murid Tahun 4 dan 5 yang berjaya memenangi kategori "Plate" dengan menewaskan SK Seri Bunian, Pontian dengan kiraan mata 24-14. Pasukan sekolah telah dibimbing oleh En. Hazaadzim dan En. Syahrul Azrul.

Tahniah diucapkan.

Rabu, 6 Julai 2011

Larian 1 Murid 1 Sukan


Pada 2 Julai 2011, Unit Ko-kurikulum telah berjaya menganjurkan program yang dijalankan serentak di seluruh Malaysia iaitu Larian 1 Murid 1 Sukan. Sambutan daripada murid-murid menggalakkan. Selepas selesai larian tersebut, Unit Ko-kurikulum telah mengadakan pertandingan antara Rumah Sukan. Antara acara yang dipertandingkan adalah bola sepak, bola baling, bola jaring dan badminton.

Majulah Sukan untuk Negara!

Karnival Bahasa Melayu 2011

 Karnival Bahasa Melayu (SK) 2011 yang dianjurkan oleh JPN Johor telah diadakan di SK Bandar, Kota Tinggi pada 30 Jun 2011, Khamis lepas. Beberapa pertandingan telah diadakan iaitu Mengarang Esei, Pidato dan Bercerita Tahap 1& 2 yang disertai oleh wakil-wakil dari sekolah-sekolah seluruh Negeri Johor.



Dua orang murid Tahun 6 dari SK Taman Rinting 1 telah  terpilih bagi mewakili Daerah Pasir Gudang dalam pertandingan Mengarang Esei. Sementara bagi pertandingan Bercerita dan Pidato telah diwakili oleh peserta dari SK Bukit Tiram dan SK Pasir Gudang 4. Daerah Pasir Gudang telah menduduki tempat keempat bagi Mengarang Esei. Keseluruhan pertandingan telah dimenangi oleh PPD Muar.

Tahniah kepada para pemenang!