INFO TERKINI



"Minda dan Budaya di Perkasa, Sejarah Tercipta"
Selamat Datang Ke Weblog SK Taman Rinting 1

Khamis, 29 April 2010

Sekolah Lokasi Terbaik Tanam Kesedaran 3R

Sumber: http://www.utusan.com.my/

KUALA LUMPUR 27 April - Sekolah adalah tempat terbaik untuk mendidik generasi muda tentang alam sekitar termasuk konsep kitar semula.

Ketua Setiausaha, Persatuan Pekilang Plastik Malaysia (MPMA), C.C. Cheah berkata, oleh itu pihaknya dan Yayasan Scientex memilih sekolah untuk mengadakan kempen 3R (pengurangan, penggunaan semula dan kitar semula).

Katanya, pelajar mudah dididik mengenai kebaikan dan faedah kitar semula serta mendorong mereka untuk mengamalkannya setiap hari.

"Melalui kempen ini juga, ia dapat membantu kanak-kanak membentuk sikap bertanggungjawab terhadap alam semulajadi.

"Biarpun masih muda, mereka boleh membantu menyampaikan mesej ini kepada ibu bapa, rakan-rakan serta jiran tetangga," ujarnya selepas majlis pelancaran program Kesedaran 3K di Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Scientex, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim.

Lima sekolah terlibat dalam kempen itu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) St. John (2), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Utara, SMK Convent Bukit Nanas dan SMK Damansara Utama dan SK Seri Bintang Selatan.

Kempen akan diadakan sepanjang tempoh enam minggu sehingga sambutan Hari Alam Sekitar Dunia yang bakal diadakan pada 5 Jun.

Sementara itu, beberapa pelajar sekolah yang ditemui menyifatkan kempen yang dilancarkan amat berguna bukan sahaja bagi menyedarkan mereka tentang keperluan mengurangkan penggunaan sumber alam semula jadi, tetapi juga tentang pengamalan 3R yang berkesan.

Pelajar SMK Damansara Utama, Anis Yasmin Fadil Hassan, 17, berkata, kempen itu amat baik kerana ia antara langkah bagi memastikan jumlah sisa pepejal yang dihasilkan negara dapat dikurangkan.

Pendapatnya turut dipersetujui murid SK St. John (2) Sarranraj Shanker, 10, yang mengakui sudah dididik sejak kecil supaya mengamalkan 3R oleh ibu bapanya.

"Justeru, saya tiada masalah untuk melakukannya walaupun berada di luar rumah," katanya.

SK Wakaf Perkenal 'Ala Rekrut'

Sumber: http://www.utusan.com.my/

TUMPAT 25 April - Sekolah Kebangsaan Wakaf Bharu dekat sini melaksanakan program mendisiplinkan pelajar dengan mewajibkan semua murid lelaki berambut pendek dengan gaya potongan ala rekrut.

Guru Besar sekolah itu, Husain Bustari Awang Lah berkata, program itu bertujuan memberi identiti sekolah menerusi gaya potongan rambut pendek yang kelihatan lebih kemas.

Ia juga bagi membolehkan murid kelihatan bergaya dan menjimatkan perbelanjaan ibu bapa untuk menggunting rambut anak setiap bulan.

"Inilah kali pertama sekolah kami mengadakan program disiplin ini yang bertemakan "guru cakna murid ceria"," katanya selepas perhimpunan mingguan di sekolah itu hari ini.

Sebagai gimik kepada pelancaran itu, Husain Bustari bersama guru disiplin sekolah itu, Abdullah Yusoff, dan Penolong Kanan I sekolah itu, Abdul Hamid Ismail, memotong rambut sebahagian pelajar terbabit.

Keputusan untuk menggunting rambut pelajar dengan potongan ala rekrut itu dipersetujui oleh ibu bapa semasa mesyuarat agung Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, 13 Mac lepas, kata Husain.

Program mendisiplinkan pelajar berambut pendek itu melibatkan 450 murid lelaki, daripada sejumlah lebih 900 murid sekolah itu.

"Langkah itu juga boleh mengelakkan murid-murid terikut-ikut dengan trend rambut yang pelbagai bentuk atau diwarnakan, selain meletakkan murid sekolah ini beridentiti tersendiri," katanya. - BERNAMA

Rabu, 28 April 2010

35 Petua Pelajar Cemerlang

Oleh: Dato' Dr Fadzilah Kamsah

Pelajar cemerlang akan menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut, merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
a). kita ingat 10% apayang dibaca.
b). kita ingat 20% apa yang didengar.
c). kita ingat 50% apa yang didengar & dilihat.
d). kita ingat 70% apa yang dicakapkan.
e). kita ingat 90% setelah dipraktikkan.

1. Belajar secara aktif dengan pen/ pensil ditangan.

2. Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu
(tidak termasuk kerja rumah).

3. Belajar dalam persekitaran kondusif.
a). pastikan cahaya adalah terang.
b). kurangkan gangguan bunyi.
c). tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar.
d). tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran.
e). kerusi dan meja menghadap kiblat.
f). jangan lupa untuk senyum.

4. Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.

5. Mengulang kaji menggunakan kaedah output learning iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku / nota, ingat kembali, lakar / tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.

6. Tahu teknik merangsang memori:
a). memasukkan maklumat dalan memori (registration ).
b). menyimpan maklumat dalam sel memori (retention ).
c). mengingat kembali (recall ).
d). menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application).

7. Sentiasa awal dan mendahului
a). persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
b). pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
c). belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.

8. untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar.

9. Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.

10. Mempunyai teknik membaca yang betul
a). duduk dengan tegak & bernafas dengan betul.
b). membrika tumpuan sepanuhnya.
c). menggunakan jari telunjuk untuk membaca.
d). menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan.

11. Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh & malas.

12. Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.

13. Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.

14. Mengadar rehat sebentar setiap 20 minit mengulangkaji.

15. Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock ).

16. Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas,selepas baca al-quran / zikir selepas riadah dan selepas berdoa.

17. Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar)

18. Mengulang kaji secara persendiran atau berkumpulan

19. Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sbelum peperiksaan.

20. Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.

21. Mengulang kaji apabila mulai terlupa

22. Tahu petua mengulang kaji
a). cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
b). siapkan semua? bekalan? dengan sempurna
c). duduk tegak dikerusi yang selesa
d). baca doa penerang hati
e). baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
f). fikir dan ingat kembali isi utama
g). catat / lakar
h). semak semula ketepatan maklumat
i). ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
j). buat rumusan
k). jawab soalan
l). tampal maklumat yang rumit di dinding
m). baca doa tanda kesyukuran selepas belajar

23. Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas belajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya

24. Tahu petua-petua agar tidak lupa
a). jangan makan kepala ikan
b). jangan makan organ dalaman
c). jangan minum semasa makan
d). jangan minum atau makan makana yang tercemar oleh semut
e). jangan melihat kemaluan
f). jangan melihat buih
g). jangan membaca nama pada batu nisan
h). banyakkan makan makanan yang mengan dungi soya seperti tempe, tauhu dan lainlain
i). banyakkan makan kismis, kurma dan madu
j). banyakkan makan kekacang
k). pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
l). jangan makan sehingga terlalu kenyang
m). jangan kencing berdiri

25. Tahu kemahiran mengingat
a). tampal nota-nota penting di dinding
b). tukar perkataan, ayatb atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
c). gunakan kaedah akronim
d). reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
e). pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil

26. Cekap mengatur jadual belajar
a). mempunyai jadual belajar
b). patuh kepada jadual
c). buat jadual yang boleh diikuti

27. Tidak menangguh belajar disaat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar

28. Cari maklumat mengenai subjek yang tidak diketahjui. Sediakan perkara-perkara yang tidak diketahui dan dapatka penyelesaian dari orang yang lebih arif.

29. Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar

30. Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa

31. Membawa nota kemana-mana sahaja ( kecuali ke tandas )

32. Pelbagaikan tempat belajar

33. Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham

34. Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya

35. Ciri-ciri pelajar cemerlang:
a). taat kepada Allah
b). mendirikan sembahyang
c). menghormati kedua ibu bapa dan setiasa mendoakan mereka
d). hormati & sayangi gru
e). bersungguh-sungguh dal;am melakukan kerja untukmencapai kecemerlangan
f). suka pada setiap mata pelajaran yang disukai
g). membantu rakan yang memerlukan
h). berdoa dan bersyukur kepada Allah
i). sentiasa bertawakal
j). mahir dalam setiap mata pelajaran

Selasa, 27 April 2010

AJK PIBG SESI 2010/2011

AHLI JAWATANKUASA PIBG
SK TAMAN RINTING 1
SESI 2010/2011

Penasihat : En. Mohammed Salleh Bin Mizan
Yang Dipertua : Tn. Hj. Abd. Aziz Bin Naemat
Naib Yang Dipertua : En. Zulkifli Bin Mohd. Nor
Setiausaha Kehormat : Pn. Nor Huda Binti Deraman
Bendahari Kehormat : Pn. Norasikin Binti Hussain

Ahli Jawatankuasa Ibu/Bapa :
1. En. Hassan Bin Kahar
2. En. Mohamad Bin Yunos
3. En. Eddy Fairus Bin Anuar
4. En. Salleh Bin Jamri
5. Pn. Napisah Binti Narikkudan Mammoo

Ahli Jawatankuasa Guru :
1. Pn. Saudah Binti Wahab
2. En. Syahmi Bin Zakaria
3. En. Ahmad Tarmizi Bin Ali
4. Pn. Roslinda Binti Mohd Noor
5. Cik Rabbiatul Najua Binti Rosman

Pemeriksa Kira-Kira :
1. En. Hafiz Bin Norman (Ibu/Bapa)
2. Pn. Leni Salfarina Binti A.Ramlee (Guru)

Pemegang Amanah :
1. Pn. Saridah Binti Tukiman (Ibu/Bapa)
2. Pn. Mariah Binti Mohamad (Guru)

Rabu, 21 April 2010

Kem Ibadah & Motivasi Kecemerlangan Diri

Unit Bimbingan & Kaunseling dan Panitia Agama Islam SKTR1 akan menganjurkan "Program Kem Ibadah Dan Motivasi Kecemerlangan Jati Diri Tahun 6" seperti maklumat berikut:

Tarikh: 23-24 April 2010
Hari: Jumaat dan Sabtu
Masa: 2.00 ptg (Jumaat) - 12.00 t/hari (Sabtu)
Tempat: Dewan SKTR 1

Antara objektif penganjuran program ini ialah menekankan pembinaan sikap murid-murid berteraskan nilai-nialai murni dan akhlak mulia. Program ini juga turut memotivasikan peserta ke arah pembentukan pelajar yang berjaya. Bagi menjayakan program ini, pihak penganjur telah menjemput penceramah dari Yayasan Pembangunan Keluarga untuk menyampaikan ceramah motivasi.

Semua murid Tahun 6 adalah diWAJIBkan hadir. Penilaian PAFA akan dibuat sepanjang program ini.

Kempen Kebersihan Bersama PROTEX

Pada hari Isnin (19 April 10) yang lepas, SKTR1 dengan kerjasama syarikat sabun PROTEX telah menganjurkan Program Kesedaran Kebersihan di peringkat sekolah. Program tersebut diadakan khusus kepada murid-murid Tahap 1, supaya kesedaran tentang kebersihan dapat dipupuk daripada kecil lagi.




Semua murid SKTR1 telah menerima sumbangan berupa sebuku sabun setiap seorang. Pihak SKTR1 mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian dan sumbangan daripada syarikat sabun PROTEX.

Ahad, 18 April 2010

.::JIKA KEMENANGAN BUKAN MILIK KITA::.

Pada hari sabtu yang lepas 17 april 2010, sekolah telah menghantar wakil ke festival nasyid peringkat daeraah pasir gudang.
9orang ahli kumpulan nasyid SKTR 1 telah dibimbing oleh al fadhil Ust Mohamad Khairuddin Kallil. Atas kesungguhan beliau, kumpulan nasyid SKTR 1 telah berjaya di peringkat zon dan seterusnya mara ke peringkat daerah.

Meskipun telah mempersembahkan yang terbaik, namun kumpulan nasyid SKTR1 tidak berjaya merebut hati para hakim pada hari tersebut. Diantara 5 kumpulan yang menyertai bagi acara nasid sekolah rendah, SKTR 1 cuma berjaya menduduki tempat ke empat.

Tahniah diucapkan kepada wakil sekolah. Semoga kekalahan ini tidak memudarkan semangat mereka untuk terus bersaing dan mempersembahkan yang terbaik pada masa-masa akan datang.

p/s::.gambar akan dimuatnaik kemudian.....

Khamis, 15 April 2010

Bimbingan & Kaunseling


Unit Bimbingan & Kaunseling SKTR1 menyediakan perkhidmat percuma kepada warga SKTR 1, khasnya kepada murid-murid dan ibu bapa yang memerlukan khidmat nasihat dan bimbingan. Antara objektifnya adalah:-
  1. Mengenal dan memahami diri sendiri tentang kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri sendiri.
  2. Membuat penyelesaian peribadi, sosial, akademik, emosi dan kerjaya dengan persekitaran di dalam dan luar sekolah.
  3. Mendedahkan bakat, minat dan kelebihan-kelebihan diri yang terpendam untuk meningkatkan konsep kendiri.
  4. Berfikir secara rasional dan bertindak secara berkesan dalam membuat keputusan untuk mengatasi persoalan-persoalan yang dihadapi.
  5. Membentuk tabiat membiasakan pelajar dengan baik dan berkesan.
  6. Membentuk ciri-ciri akhlak yang baik untuk menjadi warganegara yang berguna.
Waktu Sesi Bimbingan & Kaunseling

Sesi Pagi - 8.00 pg - 1.00 ptg.
Sesi Petang - 1.00 ptg - 6.00 ptg.

Hubungi Guru Kaunselor Sekolah:
Pn. Hjh Som Dahlan
Pn. Khamilah Mahbar

Program Pengedaran Produk SOLVITE - PERCUMA

SKTR 1 mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian syarikat Paluan Sejati Sdn Bhd untuk menganjurkan 'Program Solivite Minuman Susu Kultur' dengan edaran percuma sempena pelancaran produk terbaru Solivite. Program ini adalah terhad kepada murid-murid Tahap 1 sahaja dan seperti maklumat berikut:

Tarikh: 23 April 2010 (Jumaat)
Masa: 4.00 pm - 5.00 pm.

Diharapkan semua murid Tahap 1 tidak melepaskan peluang ini.

Guru bertugas - Pn. Khamilah Mahbar.

Selamat Hari Guru 2010

GURU O GURU

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

***************************

OBOR HEMAH

Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
ketika sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara dharma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya,
atas lambungan laut, merangsangkan
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar,
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan,
walau diambilnya kemball semua buku,
sempat ditinggalkan asas i1mu.

Guru adalah batin suci hatinurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.

A. SAMAD SAID
2 APRIL 1988

Jumaat, 9 April 2010

Penularan H1N1 Masih Aktif

JOHOR BAHRU - Masyarakat diingatkan supaya tidak mengabaikan langkah-langkah pencegahan virus Influenza A (H1N1) kerana penyebarannya masih aktif.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Datuk Dr Robia Kosai berkata, masyarakat perlu mempertingkatkan kebersihan diri termasuk membasuh tangan dengan kerap terutama selepas batuk atau bersin.

Dr Robia berkata demikian ketika mengulas mengenai 43 kes H1N1 dilaporkan di Johor sepanjang tahun ini.

“Orang ramai juga perlu memakai topeng muka jika berada di khalayak ramai,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my

Bantu Sekolah Tingkat Kecemerlangan Pelajar

JOHOR BAHRU 3 April - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) digesa membantu pentadbiran sekolah dalam usaha meningkatkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang berkata, tugas untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam semua aspek tidak hanya perlu dilepaskan kepada para guru semata-mata.

Justeru, penglibatan ibu bapa dalam setiap program yang dianjurkan oleh PIBG dan sekolah amat dituntut.

"Kerjasama yang baik daripada kedua-dua pihak amat penting kerana ia merupakan tunjang untuk melahirkan pelajar cemerlang.

"Kita berharap agar penglibatan ibu bapa tidak hanya terhad kepada perkara tertentu saja tetapi biarlah secara lebih meluas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung PIBG dan Majlis Anugerah Cemerlang ke-6 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya 3, di sini hari ini.

Maulizan turut menyumbang wang sebanyak RM7,000 untuk memperbaiki prasarana di sekolah berkenaan.

Pada majlis itu, seramai sembilan pelajar cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan lima Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima plak penghargaan, sijil dan bunga.

Seorang penerima, Muhammad Hafiz Shafi yang memperoleh 9A dan IB dalam SPM bersyukur apabila mendapat keputusan cemerlang.

"Dengan keputusan yang diterima ini, saya berhasrat untuk menyambung pelajaran ke universiti selepas ini," katanya.

Bagi Noor Mohd. Noh Jasman, 16, memperoleh keputusan 8A dalam PMR memberi semangat kepadanya untuk terus belajar bersungguh-sungguh sebagai persediaan menghadapi SPM selepas ini.

http://www.utusan.com.my

Selasa, 6 April 2010

Program Keceriaan Sekolah

Sempena Program Keceriaan Sekolah, pertandingan Keceriaan Kelas akan diadakan bermula pada 12 April 2010. Anugerah pertandingan akan dibuat pada setiap 2 minggu sekali. Kelas yang menang akan dianugerahkan sebuah trofi pusingan beserta sijil.
Semoga semua kelas dapat menyahut cabaran pertandingan ini untuk dinobatkan sebagai pemenang.

Mesyuarat PIBG

Kepada semua AJK PIBG, adalah dimaklumkan bahawa PIBG akan mengadakan mesyuarat seperti maklumat berikut:-

Tarikh: 7 April 2010
Masa: 8.00 malam
Tempat: Bilik Mesyuarat SKTR1

Semua AJK adalah diwajibkan hadir.

Jumaat, 2 April 2010

Hari Keusahawanan: Bazar Baca

SKTR1 akan mengadakan program Hari Keusahawanan sekolah pada 3 & 4 April 2010 (Sabtu dan Ahad). Semua warga SKTR1 dan penduduk setempat dijemput hadir untuk memeriahkan program sambutan Hari Keusahawanan ini. Program ini akan dijayakan lagi dengan kehadiran Bazar Buku oleh beberapa syarikat terbitan buku. Dapatkan koleksi buku-buku dengan tawaran harga yang rendah.
Pihak SKTR1 berharap dengan program seumpama ini akan dapat menggalakkan lagi budaya membaca masyarakat setempat, khususnya dalam kalangan SKTR1 sendiri dan di samping itu dapat memupuk minat keusahawanan.

Datanglah beramai-ramai!