INFO TERKINI



"Minda dan Budaya di Perkasa, Sejarah Tercipta"
Selamat Datang Ke Weblog SK Taman Rinting 1

Sabtu, 19 November 2011

Majlis Perpisahan Akhir Tahun 2011

18 Nov. 2011 - Pada hari terakhir persekolahan, SK Taman Rinting 1 telah mengadakan majlis ringkas sebelum murid-murid mula bercuti pada esok hari. Tuan Guru Besar, sempat menyampaikan ucapan yang sarat dengan nasihat sebelum murid-murid beratur untuk bersalam-salaman dengan guru-guru.


Murid-murid akan mula bercuti pada 19 Nov. 2011 dan dijangka kembali ke sekolah pada 2 Jan. 2012 bagi negeri Johor dan sewaktu dengannya. Selamat bercuti diucapkan. Pastikan masa cuti yang panjang dapat diisikan dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.

Selamat bercuti.

Hari Terbuka: Bantuan Khas, Keputusan UPSR 2011

17 Nov. 2011 - Hari Terbuka yang diadakan pada kali ini adalah bagi penyerahan Bantuan Khas Kerajaan sebanyak RM 100 kepada semua murid yang layak menerima. Ramai ibu bapa yang hadir, sekaligus untuk mengambil keputusan UPSR dan juga peperiksaan akhir tahun.

Pada tahun ini, SK Taman Rinting 1 mencatatkan peningkatan dalam UPSR iaitu seramai 9 orang yang memperoleh 5A berbanding pada tahun lepas iaitu 5 orang sahaja. Purata keseluruhan juga turut meningkat pada tahun ini.

Pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada murid-murid yang berjaya. Terus gandakan usaha untuk merebut kejayaan pada masa hadapan. Yang kurang berjaya, jangan berputus asa. Masih banyak peluang lagi untuk ditempuhi.

Jumaat, 18 November 2011

Aktiviti Bulan Bahasa 2011

14 Nov.: Penyampaian hadiah bagi pertandingan Tulisan Berangkai yang telah diadakan pada minggu lepas telah disampaikan oleh Ketua Guru Penyelaras Tahun 6, Pn. Ruhila Adnan. Para pemenenang dipilih dua tulisan terbaik daripada setiap kelas Tahap 2.





Selepas majlis penyampain itu, murid-murid dipertontonkan dengan persembahan bakat-bakat si cilik yang tidak kurang hebatnya dalam mendeklamasikan sajak. Kategori bagi pertandingan mendeklamasikan sajak dibahagikan kepada tiga aliran iaitu tahun 4, 5 dan 6. Ternyata SKTR1, masih ada bakat-bakat baru yang boleh digilap untuk dijadikan pelapis.

Seterusnya, pertandingan Sahibba dilangsungkan mengikut tiga aliran tahun. Pertanndingan yang menguji minda itu mendapat sambutan yang baik daripada murid-murid.

Para pemenang bagi kedua pertandingan yang diadakan pada hari telah diumumkan pemenangnya dan disampaikan hadiah oleh GPK Ko-kurikulum, Pn. Hjh. Mariah Mohamed. Adalah diharapkan dengan aktiviti-aktiviti sebegini, murid-murid dapat menghayati kempen Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan.





"Bahasa Jiwa Bangsa"


*Program ini telah dikendalikan di bawah Panitia Bahasa Melayu.

Isnin, 14 November 2011

Hari Kanak-Kanak Sedunia 2011

Latar Belakang

Berdasarkan kepada fakta-fakta sedia ada, Sambutan Hari Kanak-Kanak SeDunia yang pertama telah dianjurkan oleh International Union For Child Welfare pada tahun 1953 dan diiktirafkan oleh UNICEF (United Nations Children's Fund) pada tahun 1954 dan hanya pada 20 November 1959 PBB telah mengistiharkan Hari Kanak-Kanak SeDunia dan meminta semua negara merayakannya pada setiap tahun.
 
Di Malaysia Perayaan Hari Kanak-Kanak SeDunia telah mula disambut pada 8 Oktober 1959 bertempat di Stadium Negara Kuala Lumpur iaitu sebaik sahaja PBB mengistiharkannya sebagai hari untuk persaudaraan sejagat dan kefahaman dikalangan kanak-kanak seluruh dunia.

Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM) telah diamanahkan untuk menganjurkan majlis sambutan ini mulai tahun 1960 sehinggalah tahun 1994. Namun begitu tahun 1995 menyaksikan tugas-tugas penganjuran ini telah diambil alih oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM).


Objektif Sambutan

Sambuatn Hari Kanak-Kanak SeDunia sebagai satu acara penghormatan dan pengiktirafan oleh pihak kerajaan dan masyarakat kepada generasi kanak-kanak dan acara sambutan ini juga diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat keseluruhan akan peranan dan tanggungjawab untuk memelihara hak serta masa depan kanak-kanak di Malaysia.

Hari Kanak-Kanak Sedunia disambut tiap-tiap tahun pada mana-mana hari Sabtu dalam bulan Oktober


Lagu Tema Hari Kanak-Kanak SeDunia

di dunia ini
kau berikan kami
pengertian, perlindungan
tidak kenal bangsa atau rupa
semua tidak berbeza
dipersada kini
kau teguhkan kini
perpaduan, kedamaian
kami tersenyum, kami gembira
hilang duka dan derita
curahkan belaian mesra
berikan kami pendidikan mulia
ada rasa cinta
sesama insan serata dunia
berilah sinar harapan
bimbinglah kami semua
dunia pasti aman
dengan kasih sayang
Yang Maha Kuasa
restuilah hamba
ketenangan, keyakinan
tabah menjalani perjuangan
dengan penuh keazaman

Sumber

Khamis, 3 November 2011

Cegah Ponteng Melalui SMS

ARKIB UTUSAN : 31/10/2011

Kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memberi banyak kemudahan kepada warga pendidik termasuk yang terkini sistem aplikasi mengesan kehadiran pelajar, m-Attendance yang dibangunkan oleh Mobile Biz Network Sdn. Bhd.
Pengarah Pembangunan Produknya, Hazwan Abu Hassan berkata, m-Attendance merupakan sistem aplikasi kehadiran yang pertama seumpamanya di negara ini untuk membantu mengurangkan kadar ponteng sekolah melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan e-mel.
"Penggunaan sistem aplikasi m-Attendance merupakan satu langkah pengintegrasian ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta selaras dengan tuntutan transformasi pendidikan mengikut keperluan kehidupan dan persekolahan abad ke-21," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Menurutnya lagi, sistem aplikasi ini berfungsi apabila guru di sekolah mengambil kedatangan setiap pelajar menggunakan komputer tablet iPad dan seterusnya ibu bapa akan menerima SMS atau e-mel yang memaklumkan status kehadiran anak mereka ke sekolah sejurus kedatangan diambil.
"Selain mengurangkan kadar ponteng sekolah, aplikasi ini juga dilihat mampu memudah serta meringankan beban guru kelas dalam mengurus data kehadiran pelajar.
"Ia juga membantu memudahkan ibu bapa untuk memberi cadangan, pandangan dan aduan kepada sekolah melalui SMS selain membantu menghebahkan segala aktiviti dan program sekolah dengan lebih cepat, mudah dan kos efektif," jelasnya.

Gerakan Transformasi Bahasa

ARKIB UTUSAN : 01/11/2011
 
 
BANYAK isu berkaitan bahasa Melayu yang timbul kebelakangan ini terutamanya berkaitan kedudukan sebagai bahasa kebangsaan dan penggunaannya dalam urusan rasmi harian.
Dalam usaha mengembalikan martabat bahasa kebangsaan, komitmen terhadap transformasi bahasa juga perlu digerakkan selaras dengan gagasan 1Malaysia dan moto 1Bahasa 1Bangsa 1Negara.
Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A. Aziz Deraman menyatakan rasa kecewa bila sebilangan orang Melayu memandang sepi dan tidak berbangga dengan bahasa warisan berbanding kaum lain dengan bahasa ibunda mereka.
Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Kebudayaan menegaskan, tugas pelaksanaan dasar bahasa juga bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata .
"Sungguhpun begitu, kepimpinan politik dan sektor awam tetap perlu mendahului dan menjadi contoh dalam penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul.

"Pencapaiannya sudah ada, tetapi akhir- akhir ini ada kecenderungan bahasa digunakan secara bercampur dalam urusan rasmi," katanya ketika berucap pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-8 baru-baru ini.

Beliau turut membangkitkan persoalan, transformasi bahasa yang bagaimana diperlukan bangsa Malaysia sesuai dengan dasar Program Transformasi Kerajaan (GTP)?
Melalui pemerhatian beliau, pemeriksaan semula perlu dijalankan ke atas tiga persepsi dalam proses transformasi bahasa dan persuratan iaitu; persepsi pencapaian pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan, penegasan semula dasar bahasa dan persepsi pembaharuan strateginya.
"Perjuangan memartabat dan memperkasakan bahasa tidak akan menemui jalan noktahnya selagi adanya kealpaan, sikap sambil lewa atau acuh tidak acuh.," katanya..
Oleh itu, tegasnya, transformasi bahasa dan persuratan perlu dilakukan demi ketahanan negara bangsa dan mencapai aspek kehidupan berkebudayaan tinggi.

"Cuba kaji apakah dan sejauh manakah kemajuan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Apakah komunikasi lisan dan tulisan sudah digunakan sepenuhnya bagi semua maksud rasmi kerajaan?
"Apakah ada 'model' penggunaan bahasa bermutu untuk dicontohi rakyat daripada kalangan pemimpin, para pegawai mahupun institusi kerajaan? Bagaimana pula bahasa komunikasi dalam jabatan dan antara jabatan sektor awam, komunikasi antara sektor awam dengan sektor swasta atau korporat dan sebaliknya," soal beliau.

Antara yang disarankan beliau adalah melihat penggunaan nama khas dan bahasa kebangsaan di tempat awam, industri perhotelan, pelancongan serta siaran media massa dengan bahasa yang nyata mendukung citra kenegaraan.

"Tetapi, bagaimanakah dapat dilakukan jika komitmen antara sektor awam dengan swasta tidak seganding? Sepatutnya, tanpa paksaan, citra bahasa kebangsaan terpampang penggunaannya di mana- mana jua. Apakah komunikasi antara sektor swasta dan korporat dengan pelanggan dalam negeri atau sebaliknya masih puluhan tahun kekal melalui bahasa Inggeris?

"Cuba kita perhatikan pula suasana komunikasi dalam bentuk iklan, nama khas, taman perumahan, jalan-raya, nama-nama gedung perniagaan di kota-kota di samping bahasa untuk pengumuman dan arahan yang dipamerkan di tempat awam, khalayak ramai mahupun siaran media massa," tegasnya.
Beliau berharap penegasan semula pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan hendaklah digerakkan dengan pendekatan dan strategi transformasi baru memandangkan pencapaian dasar bahasa yang tidak memuaskan dalam beberapa bidang utama kehidupan rakyat sebelum ini.

"Komitmennya mesti lebih kukuh dan dilakukan pembaharuan usaha. Maksudnya, kefahaman, kesedaran pengembangan dan pembinaan aspek-aspek bahasa melalui pembangunan infrastruktur bahasa Melayu tidak boleh dipandang sepi lagi.

"Tetapi, apakah pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan sudah diinsafi semua pihak? Apakah kita memerlukan satu undang-undang baru atau dipinda peruntukan-peruntukan tertentu Akta Bahasa Kebangsaan," ujarnya.

Beliau menegaskan, martabat Bahasa Melayu yang sudah ditetapkan dalam Perlembagaan tidak menjadi isu sebaliknya susunan strategi pelaksanaannya yang perlu lebih teratur.
Selain itu, beliau berharap hasil sastera berbentuk kreatif atau bukan kreatif seperti novel, cerpen, puisi dan segala hasil sastera yang ada dalam bentuk sastera klasik dan moden yang selama ini memaparkan nilai-nilai murni dan persamaan yang membentuk jiwa manusia turut dimanfaatkan.
"Masih ada sikap tidak celik sastera kerana subjek kesusasteraan tidak berkembang di sekolah. Sastera dilihat bukan satu subjek keperluan industri sedangkan di dalamnya sarat dengan pendidikan nilai-nilai patriotisme, nasionalisme, cinta negara, rasa kekitaan dan puluhan nilai murni lain.
A. Aziz menegaskan, Malaysia tidak memerlukan dasar pelbagai bahasa kerana langkah itu hanya akan membawa kepada kemusnahan perpaduan kebangsaan dan keharmonian. Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa serantau yang akan menimbulkan kebanggaan, rasa kesatuan dan perpaduan, bukan dipandang dengan sebelah mata.

Beliau berpendapat, aspirasi 1Bahasa 1Bangsa 1Negara dalam konteks 1Malaysia dapat dicapai sekiranya bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam segala urusan kehidupan sementara Malaysia sendiri memimpin gerakan menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa komunikasi antarabangsa sebelum abad ke-21 melabuhkan tirainya.

Rabu, 2 November 2011

Kem Bestari Solat 2011



01 Nov - Kem Bestari Solat khas bagi murid Tahun 6 telah berjaya dianjurkan di bawah kelolaan Panitia Agam Islam yang telah diadakan di Surau SKTR1. Sepanjang kem ini, murid-murid telah dibimbing oleh penceramah yang dijemput iaitu Ust. Badaruddin Bin Omar yang banyak mencurahkan ilmu kepada para peserta.

Kem pada kali ini turut diselitkan dengan alunan qasidah burdah atau selawat atas Nabi SAW. Para peserta turut serta bersemangat ketika qasidah burdah dan selawat dialunkan. Sememangnya qasidah burdah dan selawat ini mempunyai kelebihan atau fadhilatnya seperti yang diterangkan oleh penceramah pada awal program. Mudah-mudahan dengan selawat yang dialunkan ini dapat menyemai perasaan cinta kepada Nabi SAW dan ALlah SWT seperti yang dianjurkan oleh agama.

Para peserta diperkukuhkan dengan penyampaian kaifiat atau cara-cara berwuduk serta rukun-rukunnya. Begitu juga dalam bab solat, para peserta didedahkan dengan perkara-perkara yang membatalkan solat selain diselitkan dengan peranan solat dalam kehidupan dan kepentingan menjaga solat yang difardhukan. Dalam penyampaian slot solat jenazah, para peserta membuat demontrasi bagaimana ianya dilakukan.

Sebelum kem tersebut berakhir, penceramah telah menyampaikan slot Penjernihan Jiwa yang banyak berkisarkan kepada adab-adab yang perlu dijaga dan diamalkan. Para peserta diajak merenung dan memikirkan tentang pentingnya menyuburkan cinta kepada ibu bapa, guru-guru, Nabi SAW dan seterusnya ALlah SWT sebagai bekalan akhirat.

Berikut ialah gambar-gambar yang sempaat dirakam.