INFO TERKINI



"Minda dan Budaya di Perkasa, Sejarah Tercipta"
Selamat Datang Ke Weblog SK Taman Rinting 1

Selasa, 26 April 2011

10,000 Guru Bahasa Inggeris Dilatih Tahun Ini

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran menyasarkan untuk melatih 10,000 guru bahasa Inggeris tahun ini bagi memastikan pengajaran bahasa itu di sekolah berjalan ­lancar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penye­diaan latihan berkenaan selaras dengan pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi murid Tahun Satu yang bermula tahun depan.
“Walaupun Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan, kementerian giat melaksanakan pelbagai usaha dan strategi bagi meningkatkan kemahiran dan penguasaan dalam bahasa Inggeris.


“Sehingga kini, hampir 12,000 guru terlibat dalam program latihan khusus untuk mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris yang diadakan tahun lepas dan untuk tahun ini kementerian menyasarkan 10,000 guru bahasa Inggeris diberikan latihan sama,” katanya ketika menjawab soalan Senator Ng Fook Heng pada persidangan Dewan Negara di sini, semalam.

Ng ingin tahu langkah kukuh yang diambil untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar peringkat rendah dan menengah memandangkan pemansuhan PPSMI untuk Tahun Satu dilaksanakan tahun depan.

MBMMBI diperkenalkan bagi menggantikan PPSMI yang akan dimansuhkan pada 2012 setelah mendapati dasar itu gagal mencapai matlamatnya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan pada masa sama menjejaskan pencapaian pelajar, khususnya di luar bandar dalam kedua subjek itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, selain menubuhkan Jawatankuasa Induk Pelaksanaan Dasar MBMMBI yang dipengerusikan beliau sendiri, kementerian akan melakukan pengambilan semula guru bersara bahasa Inggeris dengan menawarkan kerja kontrak.

Katanya, mulai tahun ini sehingga 2013, kementerian menyasarkan 600 guru bersara bahasa Inggeris akan dilantik secara kontrak di seluruh negara dan sehingga Mac lalu, 168 guru menerima tawaran berkenaan.

"Kerajaan turut membawa masuk 375 penutur jati dari luar negara untuk melaksanakan program peningkatan profesionalisme pensyarah dan guru bahasa Inggeris dengan 360 daripada pakar bahasa Inggeris itu dilantik sebagai mentor kepada guru bahasa Inggeris bagi 1,800 sekolah rendah.

"Kementerian juga meningkatkan kapasiti bilik komputer di sekolah sebagai makmal bahasa Inggeris, dengan 20 sekolah dipilih sebagai perintis makmal itu tahun lepas dan diperluaskan ke 700 sekolah lagi tahun ini," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan